HIJRAH YANG DITUNTUT PADA MASAKINI :
1. Jihad fi sabilillah dengan niat yang ikhlas sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh an-Nasa’i daripada Safwan bin Umayyah r.a. katanya, “Saya berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya mereka berkata bahawa syurga tidak akan dimasuki kecuali oleh orang yang berhijrah?” Baginda menjawab (maksudnya), “Tidak ada hijrah selepas Fathu Makkah, tetapi jihad dan niat. Maka apabila kamu dikerah untuk berjihad, segeralah menyahutnya.”
2. Taubat nasuha dengan meninggalkan segala kejahatan dan dosa sebelum matahari terbit dari arah barat. Daripada Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a., beliau mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
“Tidak terputus hijrah sehingga terputus (peluang) bertaubat, dan tidak terputus (peluang) bertaubat sehingga matahari muncul dari arah barat.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)
Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
“Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.”
(Riwayat Ahmad)
3. Memberi sedekah. Daripada Abi Saeid al-Khudri r.a. katanya, seorang badwi telah datang menemui Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya mengenai hijrah. Baginda bersabda (maksudnya),
“Dengar ini! Sesungguhnya hijrah itu urusannya sangat sulit. Maka adakah kamu memiliki unta?” Badwi itu menjawab, “Ya.” Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya, “Adakah kamu mengeluarkan zakatnya?” Dia menjawab, “Ya.” Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya lagi, “Adakah kamu memberi sedekah sesuatu daripadanya seperti memerah susunya?” Dia menjawab, “Ya.” Lalu baginda bersabda (maksudnya),
“Maka beramallah kamu dari seberang lautan. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak mengabaikan amalan kamu sedikit pun.”
Ketika mensyarahkan Hadis ini, al-Hafidz Ibn Hajar berkata, “Hadis ini menunjukkan kelebihan mengeluarkan zakat unta, iaitu dengan mengeluarkan hak Allah pada unta itu menyamai kelebihan hijrah. Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa seseorang yang menetap di negerinya dengan menunaikan zakat unta, akan memperoleh ganjaran hijrah dan menetap di Madinah.

No comments:
Post a Comment